• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
  • Edit
  • HARAPAN ORANG TUA KITE..!!

    Sep 29, 2011
    “Apabila mati seseorang anak Adam ada tiga perkara yang dapat membantunya di alam barzakh iaitu anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang ditinggalkan”.
    Setiap ibu bapa selalu berdoa supaya mendapat anak yang soleh apabila anak itu dewasa nanti. Ada yang menghantar anak-anak ke sekolah agama atau pondok supaya apabila keluar nanti menjadi seorang ustaz atau ustazah.
    Berkat kesungguhannya mendalami ilmu agama dan  mengamalkan pula ilmu itu maka jadilah dia anak yang soleh apabila dia besar nanti.
    Namun kita perlu memahami bahawa seorang anak yang soleh bukan dari bidang agama sahaja. Walaupun dia seorang jurutera hatta  seorang tukang cuci sekalipun, sekiranya dia menurut perintah Allah SWT, tidak menderhaka kepada kedua ibubapa dan selalu berdoa kepada Allah supaya kedua ibubapanya diampunkan dosa dan dijauhkan seksaan kubur serta sering menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci al Quranul Karim maka anak itu tetap dikategorikan anak yang soleh.
    Sekiranya dia berkelulusan tinggi dalam bidang agama sekalipun namun dia tidak menghormati ibubapa, saudara, atau kawan-kawannya dia bukanlah anak yang soleh seandainya sering sahaja memandang rendah kepada orang  yang kurang pendidikan agama. Inilah yang paling malang sekali kerana timbul sikap riak dan ini banyak berlaku disekeliling kita. jika dari segi berpakaian  dengan serban dan jubah , cukup warak tetapi tidak bertegur sapa dengan jiran mahupun kawan-kawan, inilah manusia yang paling celaka dalam dunia oleh Allah SWT. Pakaian bukan ukuran kepada tingginya agamanya. Tetapi sunat mencontohi pakaian yang dipakai oleh Rasulullah s.a.w.
    Langkah-langkah untuk mendapat anak yang soleh
    1. Sebelum pernikahan - Kita bertaubat atas segala kesalahan yang pernah dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi semata-mata kerana Allah untuk mendapat kebahagian rumah tangga.
    2. Malam pertama dan malam-malam selepasnya – Jangan ikut budaya barat. Ikut cara Islam bila berjimak iaitu menutupi badan ketika berjimak. Sebelum memulakan jimak, mulakan dengan Bismillah dan baca doa berjimak. Bacalah supaya syaitan dan iblis tidak turut serta masa berjimak.
    3. Ketika mengandung – Si suami memperbanyakkan amal dan selalu mengaji untuk anak di dalam perut. Si isteri pula membacakan surah yang penting jika tidak sempat hendak membaca semua surah.  Jaga pemakaian ketika mengandung.
    4. Ketika sedang melahirkan anak – Si bapa sepatutnya berada bersama  isteri di dalam bilik bersalin untuk menenangkan si isteri. Pakar perubatan mengatakan apabila si isteri dapat melihat wajah si suami bersama di dalam bilik bersalin, memudahkan proses melahirkan. Banyakkan mengingati  Allah dengan berselawat, istighfar dan berzikir. Bukan menjerit sebagaimana yang dibuat oleh orang barat.
    5. Waktu anak selamat dilahirkan – Perkataan pertama keluar dari mulut suami ialah Alhamdulillah. Azan dan iqamahkan anak tersebut.
    6. Aqiqah – Walaupun ia sunat, tetapi sebolehnya jangan dilupakan amalan ini. Lakukan ketika anak masih kecil. antara hikmahnya ialah sebagai membekalkan haiwan tunggangan di akhirat kelak.
    7. Lahir sampai umur 2 tahun – Ikuti sunah nabi, ibu susukan anak sehingga mencapai usia dua tahun.Susu ibu banyak mengandungi zat  yang berguna untuk anak serta dapat mencegah kanser payudara.
    8. Namakan anak dengan erti yang baik – Berikan nama yang mempunyai makna yang elok dalam Islam. Biasakan memanggil anak dengan panggilan yang baik. Bayangkan kita panggil dia maksudnya “Yang Pemurah”, semua orang memanggil dengan nama itu. Ia umpama mendoakan anak kita menjadi seorang yang permurah. Ajar anak mengenal al-Quran dan memakai pakaian menutup aurat sejak kecil.
    9. Alam persekolahan – Saat pertama persekolahan, iaitu memperkenalkan anak dengan dunia persekolahan, pastikan anak mendapat ilmu agama secukupnya. Lebih elok jika ibu bapa sendiri yang mengajar ilmu agama.
    10. Remaja – Di peringkat ini anak-anak mudah terpengaruh dengan rakan-rakan. Ketika ini kita mesti menjadi kawan dan ibu bapa kepada anak-anak. Bukan menjadikan anak takut kepada kita sebaliknya menghormati kita. Ibu mengambil tahu perihal anak perempuan bapa pula mengambil tahu masalah anak lelaki. Nasihati anak dengan bahasa yang lembut.
    11. Dewasa – Apabila dari kecil ditanamkan ilmu agama dan menghormati ibu bapa, Insyallah apabila dewasa anak-anak akan mengenang kita sebagai seorang kawan yang amat rapat. Bukan seorang guru yang garang  Segala apa yang dikongsi  akan berguna kepada mereka yang akan melangkah ke alam perkahwinan.
    Mana-mana ibubapa yang tidak sempat mempraktikkan panduan di atas berdoalah kepada Allah SWT selalu supaya  anak-anak kita menjadi anak yang soleh seperti dalam kisah Nabi Musa a.s. Kisah seorang anak yang ditukar Allah SWT menjadi khinzir kerana melakukan dosa besar. Jangan biarkan anak-anak kita hanyut dan terbiar  menjadi sampah masyarakat  kerana kita akan diseksa di dalam kubur sekiranya anak-anak melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah SWT. Sekarang tanya pada diri kita sendiri. Adakah kita ini anak yang soleh kepada ibubapa kita?

    JIKA CINTA ALLAH CINTA ABADI PATUHILAH SYARIATNYA..!!

    Sep 21, 2011
    Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah:
    وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
    “Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)


    Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).


    Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).


    Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan identiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya. 

    Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.


    Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat, tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama. Maka di tempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika ia dipakai oleh orang Islam. 

    Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis pakaian bernama al-Burnus.
    [1] Ia menjawab; "Harus". 
    Dikatakan kepadanya; "Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)". 
    Imam Malik menjawab; "Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai". 

    Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama. 

    Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata; 
    Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat; Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....). 

    Labuhkanlah tudungmu
    Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan masalah pemakaian cepiau (topi).[2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang pro penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkan larangan itu telah tidak ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh orang Islam hari ini.


    Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus, di bawah ini dikemukakan beberapa dhabit yang diberikan ulamak;

    1. Berkata Imam al-Qurthubi; "Jika suatu pakaian telah menjadi identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya" (Faidhul-Qadier, 6/104).

    2. "Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama" (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).

    3. "Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka" (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).

    4. "Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuatu yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain" (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).


    Merujuk kepada soalan di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati Kristian? Persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati Kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Kristian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah tadi.


    Wallahu a'lam.


    Rujukan:


    1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 182.
    2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....
    2. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.


    Nota hujung:


    [1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah (lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian.
    [2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai..
    harakahdaily.com
     >http://permata-fikrillah.blogspot.com<
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...